Sabtu, 14 Jun 2008

Rukuniaga Malaysia

Pengenalan

Rukuniaga Malaysia (The Malaysian Business Code of Ethics) merupakan satu kod etika perniagaan yang berasaskan kepada nilai-nilai agama, falsafah dan budaya rakyat di negara ini.

Penggubalan Rukuniaga Malaysia ini berlandaskan kepada ajaran agama, falsafah dan tradisi masyarakat majmuk di Malaysia. Ianya merupakan satu usaha Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk menyemarakkan disiplin diri atau 'self regulation' dikalangan masyarakat peniaga di Malaysia.

Objektif

Tujuan Rukuniaga ini digubal adalah: -
  • Untuk menyediakan prinsip-prinsip yang boleh diterima pakai, dihayati dan diamalkan oleh semua peniaga demi kesejahteraan pengguna dan juga peniaga.
  • Membantu para peniaga mengamalkan standard etika perniagaan yang tinggi dikalangan mereka supaya kepentingan semua pihak terjamin demi menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
  • Melambangkan nilai-nilai murni sejagat yang dihasilkan daripada pegangan dan kepercayaan pelbagai agama, falsafah dan budaya di Malaysia.
Prinsip Rukuniaga Malaysia

Bagi maksud tersebut, Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah mewujudkan enam (6) Prinsip Rukuniaga Malaysia seperti berikut: -

1. Berlaku Benar Dalam Amalam Perniagaan
Perilaku peniaga menuju kepada perkara-perkara benar termasuk niat dan aqad jual-beli, pemikiran, perbuatan dan pertuturan.

Contoh: Peniaga tidak harus sengaja menyembunyikan kecacatan yang ada pada keluaran semata-mata untuk mengaut keuntungan. Sama juga keadaannya apabila dengan sengaja memanipulasikan bekalan sesuatu barangan bagi tujuan untuk meningkatkan harga.

2. Bertanggungjawab Kepada Pelanggan, Masyarakat Dan Persekitaran
Bertanggungjawab terhadap pelanggan, masyarakat dan persekitaran dalam sebarang tingkahlaku dan keputusan yang diambil.

Contoh: Menjual barang dengan harga yang berpatutan atau memberikan perkhidmatan yang kualitinya setimpal dengan bayaran yang dikenakan. Sayugia, segala barangan atau perkhidmatan yang kualitinya setimpal dengan bayaran atau perkhidmatan yang diberi tidak menjejaskan kepentingan masyarakat dan persekitaran.

3. Berperikemanusian Kepada Semua Insan
Mempunyai perasaan kasih sayang dan saling menghormati sesama manusia, lemah lembut, pemurah dan saling membantu. Tingkahlaku dan keputusan yang diambil mestilah mempertimbangkan kepentingan semua pihak dan bukan kepentingan perniagaan itu sahaja.

Contoh: Sekiranya seorang pelanggan telah membuat kesilapan semasa pembeliannya, dan ingin menukarkan sama ada dalam bentuk barangan lain atau mendapatkan kembali wangnya, peniaga harus bersetuju demi tanggungjawab sosial terhadap semua insan.

4. Kesederhanaan Tingkah Laku Dalam Perniagaan
Mengamalkan sifat rendah diri, tidak bermegah-megah, tidak sombong, tidak keterlaluan, tidak tamak dan tidak berjimat cermat daripada segala segi.

Contoh: Seseorang peniaga yang berjaya tidak seharusnya lupa daratan, sebaliknya masih sanggup bersikap timbang rasa serta memberi sumbangan dan sokongan kepada mereka yang memerlukannya.

5. Saksama Terhadap Pelanggan
Tindakan yang diambil tidak hanya menguntungkan sebelah pihak sahaja, layanan sama rata tanpa mengira kaum, kelas atau darjat dan tidak berat sebelah.

Contoh: Seseorang peniaga sepatutnya tidak membezakan antara pelanggan, sama ada orang kenamaan atau rakyat biasa di dalam urusan perniagaan mereka, kerana wang itu adalah sama nilainya.

6. Kesungguhan Menjayakan Perniagaan
Membuat sesuatu dengan tekun, rajin dan penuh kesabaran, tidak mudah mengaku kalah, berani menanggung risiko dan sanggup berusaha bermati-matian.

Contoh: Apabila menceburi bidang sesuatu perniagaan, peniaga tidak seharusnya merasa gusar dengan peniaga-peniaga yang sedia ada, apa yang penting adalah bagaimana kejayaan peniaga lain dapat mendorongnya untuk berjaya.

Rujukan : Kementerian Pembangunan Usahawan & Koperasi (c) 2008

Pendaftaran Perniagaan di Semenanjung

Setiap perniagaan yang dijalankan perlu didaftarkan dengan Suruhanjaya.

Tatacara Pendaftaran

Berikut adalah tatacara untuk pendaftaran perniagaan:

a. Terlebih dahulu dapatkan kelulusan nama perniagaan yang dicadangkan daripada Suruhanjaya.

b. Lengkapkan Borang A (Pendaftaran Perniagaan) dan kembalikan dalam tempoh 21 hari dari tarikh kelulusan nama perniagaan. Isi maklumat berikut dalam Borang A:
  • Maklumat mengenai pemohon
  • Tarikh perniagaan bermula
  • Cawangan perniagaan
  • Jenis perniagaan
c. Setiap pemilik mesti menandatangani Borang A yang lengkap di hadapan pegawai pengesahan yang disebut dalam borang.

Panduan Am

Berikut adalah panduan am untuk pendaftaran perniagaan:
a. Warganegara dan penduduk tetap berumur 18 tahun ke atas boleh mendaftar perniagaan.

b. Daftarkan perniagaan dalam tempoh 30 hari dari tarikh perniagaan dimulakan.

c. Perniagaan yang didaftar tidak menyalahi undang-undang.

d. Kemukakan kelulusan khusus seperti permit, lesen, surat kebenaran atau sokongan apabila mendaftar perniagaan yang memerlukan persetujuan khas atau kebenaran.

e. Kemukakan sendiri permohonan pendaftaran di pejabat Suruhanjaya yang terdekat atau hantar menerusi pos.

f. Sertakan dokumen berikut:
  • salinan kad pengenalan
  • salinan perjanjian perkongsian (jika ada)
  • Permit, Lesen, Surat Kebenaran atau Surat Sokongan dari Agensi lain (jika ada)
Bayaran Pendaftaran

Berikut adalah bayaran yang dikenakan untuk pendaftaran perniagaan:
  • Perniagaan milik tunggal menggunakan nama peribadi mengikut kad pengenalan – RM30
  • Perniagaan milik tunggal dan perkongsian menggunakan nama dagang – RM60
  • Pendaftaran cawangan – RM5 setiap cawangan
  • Salinan sah Maklumat Perniagaan Baru – RM10
Rujukan : Kementerian Pembangunan Usahawan & Koperasi (c) 2008

Cara Penubuhan Syarikat Sendirian / Awam

Cara Penubuhan Syarikat

Sesiapa yang ingin mendaftarkan syarikat tempatan mestilah memajukan dokumen-dokumen yang diperlukan berserta bayaran kepada Suruhanjaya.

Syarikat hendaklah mempunyai:
  • sekurang-kurangnya dua pengarah (pengarah dan pengasas boleh terdiri daripada orang yang sama); dan
  • seorang setiausaha syarikat yang terdiri daripada ahli badan profesional yang telah ditetapkan oleh Menteri atau yang telah dilesenkan oleh Pendaftar Syarikat.
Pengarah-pengarah dan setiausaha syarikat mestilah mempunyai tempat bermastautin utama atau tempat tinggal hanya di Malaysia.

Tatacara Penubuhan

Sebelum mencadangkan nama untuk menubuhkan syarikat, carian nama hendaklah dibuat untuk menentukan sama ada nama yang dipilih boleh digunakan untuk mendaftarkan syarikat berkenaan. Caranya:-
  • Lengkapkan Borang 13A
  • Bayar RM30 untuk setiap nama yang dipohon. Jika diluluskan, nama itu akan disimpan selama tiga bulan dari tarikh kelulusan
  • Dalam tempoh tiga bulan, majukan dokumen-dokumen yang dinyatakan di bawah:
a) Memorandum dan Perkara-perkara Persatuan (Artikel)

i) Salinan asal disetemkan sebanyak RM100 pada Memorandum dan RM100 lagi pada Artikel Persatuan di mana-mana pejabat setem.

ii) Pengarah dan setiausaha syarikat pertama hendaklah dinamakan dalam Memorandum atau Artikel Persatuan.

iii) Memorandum dan Artikel Persatuan hendaklah ditandatangani oleh dua orang atau lebih pengasas syarikat di hadapan seorang saksi.

Sesebuah syarikat yang mempunyai modal syer boleh diperbadankan sebagai syarikat sendirian jika Memorandum dan Artikel Persatuan
  • menghadkan hak untuk memindah milik syer;
  • menghadkan tidak lebih daripada lima puluh bilangan ahli-ahlinya;
  • melarang apa-apa pelawaan kepada awam untuk memohon beli apa-apa syer atau debentur syarikat; dan
iv) melarang apa-apa pelawaan kepada awam supaya mendeposit wang dengan syarikat untuk tempoh yang ditetapkan.

b) Borang 48A – Akuan Berkanun sebelum dilantik menjadi pengarah atau pengasas syarikat. Akuan berkanun ini adalah sebagai perakuan bersumpah oleh setiap pengarah atau pengasas bahawa dirinya bukanlah seorang bankrap; dan dirinya tidak pernah disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah. Perakuan ini hendaklah ditandatangani di hadapan orang-orang yang diberi kuasa seperti berikut:
  • Pesuruhjaya Sumpah;
  • Yang Di Pertuan Mahkamah Majistret; atau
  • Mereka yang diberi kuasa di bawah Akta Perakuan Berkanun 1960 (Statutory Declaration Act 1960).
c) Borang 6 – Akuan Pematuhan. Akuan Pematuhan ini menyatakan segala peruntukan di bawah Akta Syarikat 1965 telah dipatuhi. Akuan ini mesti ditandatangani oleh setiausaha syarikat yang dinamakan dalam Memorandum atau Artikel Persatuan yang bertanggungjawab ke atas pendaftarannya.

d) Borang 13A yang asal

e) Salinan surat kelulusan nama syarikat

f) Salinan kad pengenalan pengarah dan setiausaha syarikat.

Perakuan Pemerbadanan

Apabila dokumen-dokumen di atas telah dimajukan dan didapati sempurna untuk didaftarkan, sijil Perakuan Pemerbadanan Syarikat seperti di bawah dikeluarkan:
  • Borang 8 – Sijil pemerbadanan untuk syarikat awam
  • Borang 9 – Sijil pemerbadanan untuk syarikat sendirian
Rujukan : Kementerian Pembangunan Usahawan & Koperasi (c) 2008

Panduan Perniagaan


Google Search